Penerbit: Daie Millenia
Harga: RM35
Blurb:Inilah titipan syahid suami kepada Almarhumah Nurhamizah pada saat isteri dicintainya kembali bertemu Pencipta. Selesai sudah tugasnya di dunia dan beliau pergi dalam keadaan reda seorang suami dan orang-orang sekeliling. Subhanallah!
Buku Ku Cium Haruman Syurga merupakan kisah seorang wanita solehah bernama Nurhamzah binti Mohd Shariff ketika hayatnya.
Buku ini sarat dengan pengajaran dan perkongsian yang dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk menjdai hamba Allah, isteri, ibu dan menantu yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Jika anda ingin mengubah diri menjadi manusia yang bermanfaat buat keluarga dan ummah, buku ini sangat sesuai dibaca oleh anda dan keluarga. InsyaAllah.
Resensi saya:
Alhamdulillah. Habis baca. Saya membaca buku ini tatkala bosan menunggu Internet yang tak kunjung tiba. Saya bekerja dari rumah kampung sudah beberapa bulan kerana PKP dan mula rasa selesa, sehinggalah masalah Internet melanda. Suasana yang menekankan bagi semua orang yang bekerja dari rumah.
Bagi saya, buku ini bacaan pantas. Saya dapat habiskannya dalam masa sejam lebih saja. Di dalam buku ini terdapat kisah ringkas Almarhumah Nurhamizah nukilan insan-insan yang mengenalinya, keluarga dan kawan-kawan.
Sebagai seorang pelajar sekolah aliran sains, saya rasa begitu kerdil dan mulia cita-cita beliau, seorang hafizah yang menjadi isteri dan ibu pada usia muda dan meninggal pula pada usia muda di saat iman paling baik. Sungguh cemburu. Sudah tentulah, kematiannya dirindui insan sekeliling. Orang baik, Allah sayang - Ustaz Ebit Liew. Betul?
Semoga rohnya dirahmati Allah.
Pernah dulu keluar satu buku tentang kematian seorang pemuda di Turki, Cerita Cinta Ahmad Ammar.
Saya boleh klasifikasikan buku ini sepertinya. Mungkin kisah Nurhamizah tidak tular seperti Ahmad Ammar, tapi mereka memiliki jiwa yang serupa. Penerbitannya pula bukanlah sebaik Karangkraf, isinya saya rasakan boleh dimantapkan dari segi pengisian dan susunannya.
Saya ingin melepaskan buku ini kepada sesiapa yang mahu tanpa bayaran kecuali kos pos. Saya takut buku ini terus dilupakan dalam rak saya lama-kelamaan. Kandungannya bagus, tapi baiklah orang lain pula memanfaatkannya.
Teringat kawan sekolah yang Nur Hazwani Hasnan yang meninggal dunia awal tahun ini. Seperti Nurhamizah, dia meninggal pada usia muda dengan anak yang masih kecil. Kami sama-sama selalu melepak di bilik belajar dahulu, teringat senyuman dan tutur sopannya. Malah, tak pernah saya dengar dia bercakap kasar aku-kau, semua saya-awak. Didikan ibu, katanya. Dia memiliki kawan-kawan baik yang sentiasa bersamanya dalam susah senang. Cemburu pun ada. Tapi saya begini, dia begitu. Semoga Allah merahmati dia.
Semakin menginjak usia, baru kita sedar. Keluarga dan kawan akan meninggalkan kita satu-persatu. Apa yang tinggal hanya amal baik dan kenangan saja. Jadi, jangan sedih jika kita sendiri.
xoxo
S
0 comments:
Post a Comment
Thanks for reading.